Ikon pidato Malaysia ‘ceriakan’ Debat 211 Jam
ARKIB Utusan Melayu : 28/11/20110
Syed Ahmad Syed Samsuddin Al-Saggof (empat dari kiri) bersama barisan Exco Nusantara pada Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti 211 Jam di UiTM Shah Alam.SHAH ALAM 27 Nov. - Suasana di bangunan Anjung Sri Budiman UiTM di sini ‘riuh’ dengan kehadiran Ikon Pidato Malaysia, Datuk Dr. Syed Ahmad Syed Samsuddin Al-Saggof di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini. Kehadiran ikon itu bukan hanya kunjungan biasa, tetapi turut memberi nasihat kepada pendebat yang menyertai Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti (Debat 211 Jam). Menurut Syed Ahmad, Debat 211 Jam merupakan penanda aras bagi meningkatkan keyakinan melatih mahasiswa berhujah secara profesional, berkomunikasi secara berkesan dan mengasah bakat kepimpinan dalam diri mereka. “Kita sedia maklum berdebat mampu meningkatkan kewibawaan dan keupayaan mahasiswa ke arah seorang pemimpin yang cemerlang. “Usaha UiTM dalam memartabatkan bahasa Melayu dalam Debat 211 Jam ini memang baik dan wajar dipuji,” katanya. Syed Ahmad yang juga Presiden Akademi Pidato Nusantara menambah, pendebat-pendebat yang hebat boleh membuat para pendengarnya terpesona, terhibur dan terdidik. “Mereka mesti mempunyai suara lantang dan berupaya memberi kesedaran intelektual kepada sebahagian besar pengikutnya,” katanya. Lelaki kacak, wanita cantik miliki IQ lebih tinggiArkid Harian Mero: Selasa 18 jan 2011
LONDON: Selain sering dilihat bertuah kerana sentiasa menjadi perhatian, seseorang yang memiliki wajah segak atau lawa juga didapati lebih cerdas berbanding orang lain. Kajian terbaru dilakukan di Britain dan Amerika Syarikat mendapati, tahap purata IQ individu berwajah segak atau lawa adalah 14 mata lebih tinggi daripada orang biasa, Keputusan itu sekali gus menolak kepercayaan ramai bahawa wanita berambut perang atau lelaki kacak kurang cerdik. Kajian itu dilakukan Sekolah Ekonomi London (LSE), baru-baru ini. Menurut keputusan kajian itu, seseorang yang memiliki penampilan menarik mampu memikat pasangan yang bukan saja sama menawan, malah cerdas akal fikirannya. Hasil hubungan itu, kata kajian berkenaan, pasangan terbabit boleh mendapat anak yang kemungkinan besar mewarisi kualiti fizikal dan mental mereka. Penyelidik LSE, Satoshi Kanazawa, berkata daya tarikan fizikal mempunyai kesan ketara terhadap kecerdasan umum, sama ada dalam kawalan atau tidak. “Hubungan di antara daya penarik dan kecerdasan turut semakin kuat di kalangan lelaki dan wanita,” katanya. Antara selebriti Barat yang memiliki daya penarik fizikal dan cerdas minda adalah supermodel, Lily Cole (pernah belajar di Universiti Cambridge) dan pelakon, Kate Beckinsale (lulusan Universiti Oxford). - DM Sudut pidato tingkat intelektual emosi siswa
Fokus: Parlimen Mahasiswa
Oleh Khairina Yasin Berita Harian :2011/02/03 SELEPAS kewujudan Sudut Pidato yang menjadi medan mahasiswa institusi pengajian tinggi bersuara direalisasikan, kini wujud pula Parlimen Mahasiswa yang dilihat sebagai satu transformasi dan peningkatan kredibiliti dan kuasa suara mahasiswa. Dengan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama mewujudkan parlimen berkenaan selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan, kini 19 lagi IPTA lain mula mengatur percaturan sama selepas gesaan penubuhannya ditimbulkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini. Biarpun ia disifatkan satu perkembangan positif, namun ada yang khuatir Parlimen Mahasiswa mungkin mengalami nasib sama dengan sudut pidato yang diwujudkan di kebanyakan IPTA.Entah di mana silapnya apabila sudut pidato dikatakan tidak berfungsi seperti diharapkan. Jika dulu banyak permintaan dan gesaan supaya sudut itu diadakan, tetapi bila sudah disediakan, tidak ramai pula yang mahu memanfaatkannya. Persoalannya sejauh mana kesediaan mahasiswa menyahut seruan kerajaan apabila tanggungjawab sebagai wakil rakyat universiti diberikan kepada mereka turut tercetus di fikiran ramai pihak. Menepis kebimbangan itu, rata-rata Yang Dipertua dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA yakin wujud kepentingan penubuhan Parlimen Mahasiswa, bukan saja kepada mahasiswa, malah universiti masing-masing. Presiden MPP Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Firwan Norliza, berkata penubuhan Parlimen Mahasiswa adalah satu agenda positif menunjukkan mahasiswa sudah diberi lesen besar mengurus perkara dan isu berkaitan mahasiswa. Katanya, Parlimen Mahasiswa seharusnya berfungsi sebagai medan utama membawa suara mahasiswa, melatih kepimpinan, mencambahkan fikiran mahasiswa agar tidak terlalu tertutup dan dibelenggu mana-mana pihak. “Namun, saya mempunyai pandangan tersendiri terhadap penubuhan Parlimen Mahasiswa ini kerana sudut teorinya, ia sangat gah tetapi sudut praktikalnya ada sesuatu yang mustahak perlu diteliti lebih mendalam. “Antaranya persoalan Parlimen Mahasiswa masih lagi dibatasi Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan mungkin bakal terikat dengan sebuah lagi akta seandainya Parlimen Mahasiswa dilaksanakan di setiap IPT,” katanya. “Jika dilihat dari sudut takrifan parlimen itu sendiri, ia merujuk kepada sebuah majlis yang mempunyai kuasa menggubal undang-undang. Justeru, saya merasakan Parlimen Mahasiswa tidak perlu lagi diikat dan dibatasi oleh AUKU, yang mana jelas bercanggah dengan konsep penubuhan parlimen itu sendiri,” katanya. Katanya, jika Parlimen Mahasiswa masih dibelenggu AUKU, ia tidak akan mampu berfungsi dengan baik apabila kebebasan mahasiswa dicantas. Beliau tertarik dasar dan konsep digunakan United Kingdom Youth Parliament (UKYP) iaitu satu parlimen belia atau golongan muda UK yang membawa suara anak muda mereka membabitkan pendidikan, ekonomi, sosial dan politik. Mereka lantang mengeluarkan idea dan pandangan ke arah perubahan. Katanya, UKYP bertindak sebagai platform mewakili suara anak muda di universiti yang memperjuangkan hak dan kebajikan mahasiswa, khususnya memperjuangkan yuran pengajian dan membantah cadangan kerajaan menetapkan 50 peratus pelajar perlu menyambung pengajian di universiti. “UKYP berjaya berfungsi membawa suara kebebasan dan hak mahasiswa atas beberapa faktor antaranya ia tidak tertakluk dan terikat mana-mana akta dalam membawa gerakan mereka. Mereka lebih berdikari dan bebas dalam membuat keputusan, berbeza Parlimen Mahasiswa sedia ada di USM masih lagi terikat dan tertakluk di bawah AUKU,” katanya. Sementara itu, Presiden MPP UTM, Muhammad Zaki Omar berkata, lontaran suara pemimpin mahasiswa dalam satu infrastruktur intelektual iaitu Parlimen Mahasiswa penting kerana setiap perbincangan dan penghujahan direkod dan didokumenkan sebagai satu khazanah yang boleh dijadikan tujukan pada masa depan. Katanya, wujudnya Parlimen Mahasiswa secara tidak langsung menggalakkan pertukaran idea, perkongsian pendapat dan usul cadangan kalangan pemimpin mahasiswa dibahaskan dengan lebih jitu dan terperinci. “Kewujudan Parlimen Mahasiswa bukanlah retorik bagi melengkapkan keperluan kokurikulum pemimpin mahasiswa, malah mengukuhkan lagi tanggungjawab sosial mereka. “Elemen terpenting kewujudan Parlimen Mahasiswa adalah pengiktirafan suara mahasiswa dalam menjaga kepentingan dan kebajikan mereka termasuk hal ehwal penggubalan dasar universiti. “Pengiktirafan ini menjadikan suara mahasiswa lebih relevan dan membolehkan pendapat mereka diterima dalam membantu menyelesaikan pelbagai isu seperti masyarakat, perundangan, sosiobudaya dan ekonomi serta kematangan politik negara” katanya. Membicarakan kelesuan sudut pidato, Timbalan Presiden MPP Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Mohd Izzuddin Mohd Rosli, berkata secara umum sudut pidato dilihat sebagai tempat bagi mahasiswa meluahkan pendapat, cadangan dan perasaan tidak puas hati mengenai apa saja isu. MPP USM tepis pandangan negatif mahasiswa ‘lesu’ CADANGAN mewujudkan Parlimen Mahasiswa dicetus MPP USM bagi menepis pandangan dan persepsi luar yang mengatakan mahasiswa kini ‘lesu’ berikutan penilaian tidak adil dan berat sebelah terhadap mahasiswa. Yang Dipertua, MPP USM, Ahmad Wafi Sahedan, berkata perbincangan secara serius tanpa elemen emosi berkaitan penubuhan Parlimen Mahasiswa dibuat pada Mesyuarat Jemaah YDP/Presiden MPP IPTA SeMalaysia ke-5 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), akhir Disember lalu. Beliau berkata, perbincangan itu membawa kejayaan USM sebagai IPTA pertama mewujudkan Parlimen Mahasiswa. Secara asasnya, beliau berkata, struktur Parlimen Mahasiswa membabitkan pelbagai pihak yang mempunyai peranan atau fungsi khusus di mana YDP/Presiden MPP IPTA dilantik sebagai ahli dalam parlimen berkenaan. Katanya, peneraju kepemimpinan mahasiswa IPTS juga terbabit sama, begitu juga ahli Majlis Siswi Nasional (MASISNA) setiap universiti selain Pengerusi Anak-anak Negeri Kebangsaan bagi mengukuhkan suara mahasiswa apabila Parlimen Mahasiswa Malaysia. Paling penting katanya, kewujudan Parlimen Mahasiswa tidak bercanggah dengan fungsi atau peranan Jemaah YDP/Presiden MPP IPTA SeMalaysia, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan MASISNA kerana setiap entiti terbabit masih relevan dengan asas dan peranan berbeza. “Penubuhan Parlimen Mahasiswa dilihat sebagai satu transformasi untuk mengubah kerangka politik mahasiswa sekarang kepada kerangka politik yang baru. “Kewujudan Parlimen Mahasiswa pastinya membentuk budaya baru kalangan mahasiswa iaitu perbahasan secara intelektual tanpa dipengaruhi sentimen politik dan emosi. “Golongan mahasiswa pada hari ini perlu sedar bahawa mereka adalah golongan ketiga atau ‘third force’ dalam negara ini iaitu golongan yang neutral dan bebas untuk mengkritik mana-mana pihak tanpa dipengaruhi sesiapa,” katanya. Beliau turut menuntut sikap keterbukaan pihak universiti dalam merealisasikan penubuhan parlimen mahasiswa. Universiti tidak perlu takut, malah perlu lebih bersama menyokong transformasi ke atas kerangka politik mahasiswa. |
Bahasa Melayu kian luntur
ARKIB : 28/04/2004
Bahasa Melayu kian luntur -- Masyarakat bersikap tidak peka gunakan bahasa rojak KUALA LUMPUR 27 April - Penggunaan bahasa Melayu kini semakin luntur disebabkan sikap tidak peka masyarakat yang merosakkannya dengan menggunakan bahasa rojak. Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, golongan ini tidak sedar mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dilindungi di bawah Perlembagaan Negara. Beliau melahirkan kebimbangan ini ekoran semakin ramai rakyat negara ini yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu dengan tepat. Ini, katanya, disebabkan mereka tidak diwariskan menggunakan lunas yang betul dan menggunakan campuran bahasa lain terutama bahasa Inggeris. ``Bahasa kebangsaan ini harus dijamin agar tidak tercabul dan keadaan serta keutuhannya dihormati oleh semua generasi. ``Atas kesedaran itu, kementerian akan mengadakan beberapa program bimbingan budaya bahasa untuk mengembali dan melindungi bahasa itu sebagai satu warisan negara,'' katanya. Menurutnya, bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Perancis dan Mandarin mampu kekal tulen dan tidak pula mengalami masalah bahasa rojak. Rais memberitahu demikian kepada pemberita selepas melawat Balai Seni Lukis Negara di sini, hari ini. Isu bahasa rojak sekali lagi mendapat perhatian umum ekoran pengharaman lagu sepertiSeksis dan Diva nyanyian Anita Sarawak dan Tipah Tertipu nyanyian Ruffedge oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Lagu-lagu itu diharamkan kerana mempunyai unsur bahasa rojak. Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin menjelaskan, tindakan itu diambil kerana lirik lagu-lagu tersebut mengandungi perkataan yang tidak mengikut panduan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). ``DBP menjadi panduan kita dan kita tidak boleh biarkan lagu-lagu ini diperdengarkan kerana tahap bahasa Melayu yang digunakan RTM sering dijadikan panduan oleh pihak lain,'' katanya. Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Zaienal Abidin Osman pula meminta Kementerian Penerangan menyeragamkan panduan penyiaran lagu ke semua stesen televisyen dan radio swasta kerana menimbulkan kekeliruan di kalangan karyawan. Rais berkata, bahasa kebangsaan kini didapati luntur terutamanya dalam pertuturan kerana ia dicampur aduk dengan unsur-unsur bahasa rojak. ``Kini, jarang kita dapati orang yang boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan yang utuh. ``Kebanyakan kita di Malaysia berbahasa Melayu sekerat belut, sekerat ular iaitu sekerat bahasa Melayu, sekerat bahasa Inggeris,'' katanya. Rais berpendapat, perkara tersebut yang merupakan persoalan utama kini berlaku kerana penggunaan bahasa Melayu tidak diwariskan mengikut lunas yang betul. ``Dalam kita mengejar pembangunan, bab ini jarang diberi perhatian,'' ujar beliau. Rais berkata, beliau turut terkilan dengan sikap sesetengah stesen televisyen tempatan yang banyak menggunakan bahasa ``separuh ular, separuh belut'' serta mencampur-adukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam program mereka. ``Program-program di televisyen misalnya juga sudah mempunyai unsur bahasa rojak yang perlu diberi bimbingan contohnya program Sure Heboh. Ini merupakan bahasa sekerat Melayu dan sekerat Inggeris,'' katanya. Sehubungan itu, Rais berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Pelajaran dan Kementerian Penerangan selain DBP untuk mencari penyelesaian terbaik masalah berkenaan. Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian sedia mengkaji semula Dasar Kebudayaan Negara yang dibuat pada 1971 oleh Kongres Kebudayaan Pertama bagi memastikan ia relevan dengan keadaan semasa. ``Kementerian sedia mengadakan forum, seminar, simposium atau kongres bagi pihak yang berminat untuk membincangkan mengenai dasar berkaitan kebudayaan bangsa Malaysia di samping dasar lain yang relevan dengan cara hidup rakyat negara ini,'' katanya. Bagaimanapun, katanya, kerajaan berhak memutuskan apa tindakan yang perlu diambil hasil daripada seminar atau simposium yang diadakan itu. Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dasar berkenaan yang dikatakan tidak relevan oleh sesetengah pihak dan perlu dikaji semula memandangkan ia telah terlalu lama digubal. Pelajari pidato lahirkan belia berilmu
ARKIB Utusan Malaysia : 04/01/2011
KUALA LUMPUR 3 Jan. - Golongan belia digalakkan menceburi pidato dalam usaha melahirkan rakyat yang berilmu, berkeyakinan tinggi serta peka terhadap isu semasa di negara ini. Pengerusi Akademi Nusantara, Datuk Dr. Syed Ahmad Syed Samsuddin Al-Saggof berkata, kemahiran pidato perlu diterapkan sejak awal lagi supaya ia dapat dipraktikkan dalam kerjaya dan kehidupan seharian. "Galakan kepada belia terhadap ilmu pidato akan melahirkan insan cemerlang yang petah meluahkan kebijaksanaan secara lebih kreatif . "Lontaran pendapat yang meyakinkan dan sistematik akan mampu membudayakan seni intelek pidato sebagai teras kekuatan bangsa yang maju," katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran buku nota dan rujukan teknik berpidato peringkat asas di Pusat Belia Antarabangsa di sini semalam. Menurut Syed Ahmad, kemahiran berpidato akan menjamin kejayaan kerana ia mewujudkan keyakinan tinggi yang mendalam dalam diri seseorang. "Bukan semua berani untuk melontarkan pendapat. Untuk menjadi seorang yang hebat, teknik komunikasi dan pengucapan awam perlu ada dalam diri individu tersebut," katanya. Sementara itu, beliau turut menyokong langkah kerajaan membenarkan sudut pidato khas diwujudkan semula di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. "Usaha tersebut mampu melahirkan golongan pelajar yang bijak tidak terhad kepada teori malah dalam berkomunikasi," katanya. Akademi Nusantara yang beroperasi selama 13 tahun itu bertujuan memartabatkan bidang pidato di negara ini selain melahirkan pakar motivasi yang hebat. Bahasa Melayu semakin diterima masyarakat dunia
2011/03/08 Berita Harian BANGI: Bahasa Melayu terus diterima masyarakat dunia apabila Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) yang masuk edisi kelima pada 2011, menerima penyertaan dari lima negara baru iaitu Slovenia, Estonia, Finland, Tajikistan dan Latvia. Peningkatan penyertaan PABM 2011 yang menerima 59 peserta dari 54 negara juga menunjukkan kedudukan bahasa Melayu yang semakin dimartabatkan masyarakat dunia.Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, PABM 2011 akan menjadi kayu ukur penggunaan dan penerimaan masyarakat dunia terhadap bahasa Melayu yang pernah menjadi bahasa penting merentas sempadan Nusantara pada abad ke-15 dan abad ke-16.Katanya, bahasa Melayu akan terus dimartabatkan menerusi penganjuran PABM pada setiap tahun selain program pertukaran pelajar asing ke negara ini. “Kita juga perlu ikon akademik bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu,” katanya kepada pemberita pada Malam Resepsi PABM 2011 di sini, semalam. Beliau berkata, penganjuran pertandingan pidato itu juga sejajar dengan dasar meluaskan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar asing di negara ini yang kini mencecah 75,000 orang dan disasar meningkat kepada 150,000 pada 2015. Katanya, kementerian mewajibkan pelajar asing mempelajari bahasa Melayu supaya mereka mudah untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan, sekali gus dapat mengembangkan penggunaan bahasa itu di negara mereka. Mengenai PABM, katanya, penyertaan pertandingan pidato itu terus meningkat berbanding hanya 23 negara menyertainya sebelum ini iaitu pada 2007 sebelum PABM menerima pengiktirafan anugerah Malaysia Book of Record sebagai penyertaan peserta antarabangsa terbanyak dalam pertandingan pidato pada tahun lalu. |